Blogger Templates

Thursday

UUCA or AUKU



Wawancara: Pindaan AUKU tuntut kebijaksanaan pelajar

2011/12/01

SELEPAS memperkenalkan semula Sudut Pidato pada awal tahun lalu, kerajaan sekali lagi membuktikan suara mahasiswa didengar dengan pengumuman hasrat meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974, baru-baru ini.

Di sebalik keghairahan pelajar menyambut pindaan itu yang membenarkan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) mencapai umur 21 tahun menyertai parti politik, timbul kebimbangan ia akan membawa perpecahan dalam kalangan masyarakat kampus dan melalaikan mereka daripada objektif utama iaitu menuntut ilmu.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara merangkap Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkongsi pandangan dan saranan mengenai perkembangan terbaru itu seperti disampaikan kepada Wartawan Varsiti, ROSNIZA MOHD TAHA.

S Sebelum ini, Majlis Profesor Negara (MPN) antara golongan ilmuwan yang mahu sekatan mahasiswa berpolitik dikekalkan menerusi pengekalan Seksyen 15 AUKU. Apa reaksi dan respon MPN terhadap pengumuman terbaru kerajaan ini?

J
MPN tidak pernah kata mahasiswa harus disekat daripada berpolitik. Sebelum ini pun mahasiswa boleh terbabit dengan politik jika Naib Canselor memberi kebenaran.

Isunya ialah maksud berpolitik itu sangat luas. Kalau mahu ikuti perkembangan dan berbahas mengenai keadaan politik negara dan dunia tiada sesiapa pun harus sekat mahasiswa kerana ini adalah aktiviti yang sangat digalakkan bagi menajamkan daya analisis dan pemikiran kritis pelajar.

Apa yang menjadi isu ialah apakah mahasiswa wajar bawa politik kepartian ke kampus hingga ke bilik kuliah, tutorial, asrama serta dalam semua aktiviti dan persatuan pelajar dalam kampus?

Apakah perkara seumpama ini sihat untuk kehidupan pelajar dalam kampus universiti? Apakah mahasiswa yang mahu terjebak dalam politik kepartian bersedia untuk menangani semua kesan dan implikasi politik kepartian yang dibawa dalam kampus?

Juga, apakah mahasiswa harus dibenar menjadi aktivis politik sepenuh masa sehingga pengajian terjejas, matlamat belajar dan berjaya dengan cemerlang tak kesampaian dan akhirnya yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran?

Inilah perkara yang menjadi keprihatinan kita! Kita mahu semua orang berfikir mengenai hak berpolitik sesuai dengan peruntukan hak asasi dan perlembagaan, namun pada masa sama turut mempertimbangkan tanggungjawab universiti menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif untuk pelajar serta proses pembelajaran yang lancar dan tidak terganggu dengan politik kepartian serta politiking dalam kalangan pelajar yang keterlaluan.

Biarlah pelajar dan anak-anak kita belajar dengan tenang tanpa terlalu diganggu dengan hal politik yang berlebih-lebihan hingga pembelajaran mereka terganggu dan terjejas.

S Apa antara senario positif atau negatif yang Datuk jangkakan bakal berlaku di kampus apabila pindaan akta itu diluluskan kelak dan pelajar mula bebas aktif dalam arena politik?

J
Kalau sekadar mahu jadi ahli parti politik mungkin ia tidak begitu memudaratkan. Apa yang menjadi masalah ialah apabila ideologi parti, agenda politik kepartian yang bersifat memihak atau ‘partisan politics’ menular dalam kampus. Ini dikhuatiri menimbulkan masalah jika ia tidak terkawal.

Kampus akan jadi gelanggang politik dan bukan lagi medan menuntut ilmu. Apakah ini yang kita mahu hingga perkembangan budaya ilmu di universiti, kebebasan akademik, rasionaliti dan neutraliti serta sikap tidak memihak dalam memberikan sesuatu pandangan sudah tidak wujud lagi?

Akhirnya pelajar mula berpuak-puak mengikut aliran politik dan kelompok yang mereka sokong. Inilah kekhuatiran yang ada. Kalau ini tidak berlaku syukurlah. Bermakna pelajar kita telah cukup matang dan mereka sudah ada kebijaksanaan.

Justeru, gunakanlah peluang yang telah dibuka dan diberi oleh kerajaan ini dengan sebaik-baiknya untuk menunjukkan yang siswa siswi kita sudah cukup matang dan bersedia mengurus dan guna kebebasan yang diberi kepada mereka tanpa menjejaskan tugas serta tanggungjawab sebagai pelajar universiti yang berilmu dan berjaya.

Justeru, kita harap mahasiswa bijaksana dalam membuat sesuatu keputusan dan pilihan bagi memastikan mereka tidak mengabaikan tugas serta tanggungjawab utama, harapan ibu bapa, komitmen dengan penaja pengajian, keharmonian kampus dan hak pelajar lain yang ingin belajar dengan tenang tanpa terlalu diganggu dengan politiking yang melampau dalam kampus.

S Apa perlu dilakukan pihak pentadbiran universiti sebagai persediaan menghadapi perubahan di kampus apabila akta itu dipinda kelak?

J
Pentadbir universiti sebagai kakitangan kerajaan hanya mampu melaksanakan apa yang diarahkan mengikut undang-undang dan peraturan. Kita juga hanya dapat menasihatkan pelajar supaya menggunakan kebebasan yang diberi itu dengan sebaik-baiknya dan penuh tanggungjawab.

Jangan sampai mereka menjadi alat kepada pihak tertentu atau mudah diperalatkan mana-mana pihak.

S Larangan membawa politik kepartian kepartian ke kampus dilihat satu cabaran besar apabila pindaan akta ini diluluskan. Nasihat dan saranan Prof kepada pelajar dan pentadbiran universiti dalam memastikan hal ini?

J
Di dalam kampus cubalah elakkan daripada terlalu taksub dengan parti dan agenda atau ideologi parti yang disokong. Bersikap rasional, matang dan terbuka serta bebas dalam membuat sesuatu keputusan dan memberikan pandangan.

Jangan terlalu dibelenggu dan terbelenggu dengan parti yang kita sokong sehingga kebenaran dan keadilan tidak dihiraukan. Tegakkan kebenaran dan yang hak serta keadilan berdasarkan landas ilmu dan pengetahuan yang luas.

Dengar semua pandangan dan ambillah yang terbaik. Jangan hanya mahu dengar pandangan puak yang kita sokong saja hingga pendapat pihak lain diremehkan dan ditolak mentah-mentah.

Ini tidak sihat dan tidak cocok dengan budaya ilmu yang kita ingin tegakkan. Insya-Allah kalau perkara ini dapat ditangani sebaiknya, universiti dan peranannya tidak akan terjejas dan pelajar juga yang akan untung pada akhirnya.

S Mungkin Prof ingin mencadangkan perincian aspek lain dalam pindaan akta itu supaya ia lebih jelas dan tidak disalah guna?

J
Saya fikir kerajaan tahu apa yang mereka lakukan demi masa depan negara dan universiti serta masa depan anak-anak kita di universiti. Perdana Menteri sudah berikan jaminannya dan kita harap semua pihak dapat beri kepercayaan kepada Perdana Menteri dan kerajaan menguruskan perkara ini dengan sebaik-baiknya.
Kita doakan semoga keputusan ini adalah sesuatu yang baik untuk semua pihak terutama pelajar kita kerana merekalah yang terbabit secara langsung dengan perkara ini. Mereka yang akan dapat faedahnya atau menjadi mangsa kepada sesuatu keadaan yang berlaku.

0 comments: