Blogger Templates

Thursday

AUKU lindungi pelajar daripada kesan negatif politik luar — Mohd Mahyuddin Mohd Saifuddin


November 02, 2011

2 NOV — Kita dikejutkan dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa Seksyen 15 dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 adalah bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Malaysia (unconstitutional). Keputusan hakim secara majoriti 2-1 telah memihak kepada rayuan empat bekas pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mendakwa hak kebebasan berpolitik dan bersuara adalah kebebasaran rakyat Malaysia. Keputusan bersejarah itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

Ada yang melihat dan bersuara bahawa Seksyen 15 AUKU adalah suatu seksyen yang begitu menekan dan mengongkong pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) untuk terbabit dalam politik di luar kampus. Ia mungkin ada kebenarannya.

Tetapi adakah ramai yang cuba menyingkap kenapa AUKU menghalang pelajar di IPT untuk terbabit dalam politik kepartian di luar kampus? Adakah ramai yang mengetahui bahawa pelajar ini sebenarnya boleh menyertai ceramah dan aktiviti ilmuwan yang dianjurkan mana-mana parti politik sebagai usaha meningkatkan pengetahuan dan keilmuan mereka? Mereka hanya tidak dibenarkan untuk menunjuk simpati dan memegang sebarang jawatan dalam mana-mana parti politik.

Antara sebab mungkin kenapa Seksyen 15 dan keseluruhan AUKU itu dibentuk khusus kepada pelajar IPT dan kakitangannya di kampus adalah bagi tujuan membela dan menjaga nasib warga kampus terutama pelajar. Sebagai contoh mudah, sekiranya pelajar diberi kebebasan menyertai parti politik secara langsung dan mereka terbabit dalam mana-mana tindakan disiplin parti yang memerlukan denda berupa wang ringgit, maka siapa yang harus membela mereka sedangkan pelajar ini masih belum mempunyai pendapatan sendiri? Malah kebanyakan mereka pula hanya bergantung kepada pinjaman PTPTN untuk belajar di IPT untuk tempoh masa tiga hingga lima tahun.

AUKU juga berperanan sebagai ‘punca kuasa’ menggalakkan pelajar bergiat aktif dalam kampus berbanding sibuk aktif dengan aktiviti parti politik di luar. Sekiranya pelajar diberi peluang menyertai politik kepartian, maka sudah pasti masa, wang dan tenaganya akan terpaksa dihabiskan untuk parti politik yang disertainya di luar kampus.

Kesibukan menyertai dan memegang jawatan dalam parti politik ini akhirnya menyebabkan masa belajar mereka akan digunakan untuk kepentingan parti, duit kocek yang ada dalam simpanan juga terpaksa dibelanjakan untuk survival politiknya dalam parti. 
Seksyen 15 AUKU juga berperanan secara halus untuk membantu dan memastikan pelajar agar lebih peka dan memberi tumpuan terhadap pembelajaran di kampus. Sekiranya mereka asyik sibuk siang dan malam dengan aktiviti parti politik tidak kira daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang, maka ruang waktu yang ada pada semakin terhad.

Ini tidak mustahil akan menyebabkan pelajar ponteng kelas dan tidak menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah. Akhirnya yang menjadi mangsa dalam perkara ini adalah pelajar itu sendiri, mana mungkin kepemimpinan parti politik itu akan membantu pelajar untuk lulus dengan cemerlang dalam pelajarannya.

Kita tidak bercakap lagi soal perpecahan di dalam kampus sekiranya pelajar dan kakitangan IPT diberi kebebasan menyertai secara aktif mana-mana parti politik. Cuba bayangkan sekiranya setiap pentadbiran dan ahli akademik dibolehkan bergiat aktif dalam parti politik, sudah pasti mereka akan mengambil peluang untuk menguatkan parti dan pengaruhnya. Sekiranya seorang pensyarah itu seorang Ketua Bahagian sebuah parti, adakah beliau tidak mempunyai perasaan was-was dan dendam terhadap pelajarnya yang mempunyai jawatan yang sama tetapi dalam parti lawan?

Siapa yang boleh beri jaminan bahawa pensyarah itu tidak akan menggunakan kedudukannya untuk menggagalkan atau memberi tekanan terhadap pelajarnya yang ‘setaraf’ dengannya dalam dunia politik kepartian?

Tidak dinafikan AUKU ada kekurangannya kerana ia adalah akta atau undang-undang yang diciptakan manusia, tetapi tujuan dan matlamat keseluruhannya adalah demi kebaikan warga IPT. — Berita Harian Online

* This is the personal opinion of the writer or publication, and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.


0 comments: